19 November 2020

Mati di Sini

Entah apalah jenis ketakutan ini. Ingin menulis, tetapi berharap agar tulisan ini tidak ditemui sesiapa. Saya ingin bersembunyi di sini. Berbeza dengan penulisan di Facebook, Instagram dan Twitter. Setiap satu laman mempunyai hadaf berbeza. Semuanya bergantung kepada siapa khalayak di sekitarnya.

Di Facebook, kebanyakannya kenalan dan pengikut (adalah sikit!). Penulisannya lebih kepada perkongsian, pemikiran dan persoalan. Atau sekadar suka-suka untuk menghidupkan suasana terutamanya dengan teman seisma. Laman dakwah milinea. Ruang paling mudah untuk berkongsi dan memberi inspirasi. 

Di Instagram, lingkungannya lebih kecil daripada Facebook. Cuma kenalan sesama jantina sahaja. Sejak kebelakangan ini sudah jadi seperti jurnal catatan. Saya catat apa saja perkara yang saya fikir penting, dan mungkin akan digunakan suatu hari nanti. Kadang-kadang, gambar yang dikongsi tiada kaitan pun dengan kapsyen panjang yang ditulis. Mungkin saya boleh gelar ia sebagai blog mini. Ada kod-kod bahasa tertentu. Ada cerita, perkara atau seseorang yang saya ingin rakamkan cerita dan fotonya. Maka, untuk meningkatkan keselamatan dan rasa bebas untuk menulis, saya sudah membuat tapisan pengikut. 

Twitter? Buat masa ini saya nyahaktif akaun Twitter. Tak perlu penjelsan. Ini akaun kedua selepas akaun pertama saya dinyahaktif dan terus tak boleh log masuk semasa zaman belajar dahulu. Akaun kedua ini sepatutnya dan kononnya dibuat khas untuk berjuang menentang rejim liberal. Merasalah beberapa siri kecaman dan hentaman seperti mana yang biasa diterima oleh perajurit yang lain. Ahh, sudahkah cukup untuk benar-benar mengatakan saya sudah berjuang? 

Blog. Blog ini ialah blog lama. Saya pernah cuba menghasilkan blog baru menggunakan wordpress. Tapi nampaknya lebih selesa menggunakan blog lama, ubah URL, ubah sedikit reka letaknya. Saya memilih untuk tidak memadam hantaran-hantaran lama. Sengaja. Tiada sebab tertentu. 

Blog ini mungkin suatu tempat persembunyian. Biar tulisan-tulisan saya mendiami perumahan di setiap entri dan mereput di sini. Tulisannya juga biar mati di sini. Nisannya sudah saya pacakkan siap-siap (URL blog ini ada diletak di FB). Tidak ditemui pun tidak mengapa. Saya cuma ingin rasa bebas menulis tanpa menerima apa-apa reaksi, tanda suka atau meletakkan harapan supaya ia dibaca oleh orang yang saya mahu mereka membacanya atau takut ia akan dibaca oleh orang yang saya tidak mahu mereka membacanya.

*dan kerana hal itu, sekarang saya sudah membuang nisan yang telah saya pacakkan supaya saya sendiri tidak tahu di mana saya dikebumikan


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...