siapakah yang kau cari
kalau bukan dirimu sendiri
setiap malam?
–Latiff Mohidin
Seharian terbaring, berselimut dan tidak berbuat apa-apa. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan. Setiap pagi, memerhatikan teman-teman serumah bersiap untuk ke tempat kerja. Perhati kak Faizah yang bersiap-siap untuk ke lab. Semua orang ada urusan. Sementara aku, masih menghadap siling dan kipas.
Seluruh tubuh terasa kaku. Seram sejuk walaupun di waktu tengah hari. Siang dan malam pun tiada beza. Lesu kerana berhari-hari tidak terdedah langsung kepada cahaya matahari melainkan bilah-bilah cahaya matari yang curi masuk melalui jendela.
Tiap kali jaga, meronta rasa ingin mati. Lebih baik tidur (mati kecil) untuk terus hidup. Kekal hidup. Maka, begitulah siang ke malam. Cuma tidur. Sesekali bangun mengheret kaki untuk solat dan makan.
Dalam ketidaktentuan, aku masuk belajar semula. Ambil sijil, je. Ya, kalau itu je yang mampu. Yuran mahal, tapi malas nak fikir. Pergi saja dulu. Macam biasa, buat pemeriksaan kesihatan. Tapi kali ini mohon bantuan Dr. N. Jauh pergi ke HSB semata-mata nak buat pemeriksaan kesihatan kat sana. Bimbang ditanya soal kesihatan mental nanti.
Hari pendaftaran, berdebar. Betul ke aku ni? Sampai pejabat pentadbiran aras empat, sunyi. Cuma ada aku seorang. Tapi sudah jam 9:00 pagi? Bukankah daftar jam 9:00 pagi? Pegawai suruh duduk di ruang menunggu. Disebabkan kelaparan, minta izin nak ke warung dulu beli makanan. Kemudian naik semula dan makan di pantri. Sedang makan, nampak dari dalam pantri ada budak lelaki berbaju kotak-kotak (dengan rambut ikal, melekat, mungkin kerana minyak?) datang. Baru dua orang. Haih. Dah masuk Bilik Mesyuarat untuk sesi taaruf (malas sebut orientasi) barulah budak ketiga dan keempat datang. Semuanya lelaki.
Ok. Nama pun belajar kat DiBiPi kan. Di sinilah pengembaraan dunia baharu bermula.
Rasa macam dapat nyawa baru. Mungkin sebab dah lama sangat terperap, akhirnya dapat keluar dan berinteraksi dengan manusia lain secara normal semula. Selain belajar hal-hal dalam kelas, aku mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan sastera. Puisi, cerpen dan novel. Meladeni puisi dan buku-buku yang sumpah tak pernah jumpa dan kenapa ya tak pernah nak baca sebelum ni? Duh! Ada la, tapi masa sekolah dulu.
Masa baca puisi kan, rasa macam ada sesuatu. Aneh. Rasanya halus dan tak mampu nak terangkan sebab aku belum cukup banyak kosa kata nak terangkan rasa itu apa namanya. Mungkin, baca benda sastera ni akan keluarkan hormon endorfin. Hormon yang sama dirembeskan selepas kita bersenam. Rasanyalah. Teori sendiri.
Aku akhirnya terus membenarkan diri untuk teroka dunia dan mencipta mimpi baru. Sesetengah orang mungkin memanggilnya sebagai harapan. Aku pula memanggilnya mimpi. Mungkin sama, mimpi ialah harapan dan harapan ialah mimpi.
Memilih untuk berhenti terus daripada kerjaya profesional yang boleh dikatakan masyuk, tidak lagi membuatkan aku kesal. Hal itu telah tinggal, bukan lagi sebagai mimpi; tetapi sebagai kenangan. Apabila dikatakan kenangan, lumrah apabila sesekali kita membukanya kembali sambil menangis; kadang kala sambil tersenyum.
Aku beredar ke mimpi yang seterusnya secara tak sengaja. Semasa sedang berjalan ke sana sini mengetuk pintu-pintu yang tertutup, seperti orang sesat dalam satu ruang tertutup tanpa sekilas pun cahaya. Tiba-tiba terjumpa satu jendela, Apabila dijenguk, di dalamnya adalah kawasan baru yang penghuninya menggunakan bahasa-bahasa indah. Begitu dekat dan mempesona. Dunia yang serba baharu tetapi mengghairahkan untuk diteroka. Sebagai peneroka dalam dunia yang sudah ada penghuninya, banyak perkara yang perlu aku ambil tahu. Perlahan-lahan aku mengangkat kaki untuk memanjat dan memasuki jendela itu.
Dunia baharu: sastera? Layakkah?
Sukar sebenarnya untuk seorang yang intovert untuk ke mana-mana tempat yang sudah dipenuhi orang ramai, sendiri. Sukar. Dia akan berasa janggal, kekok. Akhirnya, cuma duduk di tepi menjadi penonton sahaja. Ya, begitu perasannya. Mungkin kedudukanku cuma layak sebagai penonton dan pembaca, bukan sebagai sebahagian daripadanya? Tapi mengapa perlu atau mahu menjadi sebahagian darinya?
Aku masih mengitari bahagian luar lingkungan baharu ini. Bermula dengan mengembangkan bahan-bahan bacaan, mengenal orang dan ahlinya, menghadiri bengkel dan acara, mendengar dan mengambil tahu berita sekitarnya.
Kekok kerana pada usia begini tapi cetek pengetahuannya. Tadi, sebenarnya belum terlambat pun untuk bermula. Dan penerokaan ini sentiasa mengujakan. Mimpi-mimpi yang mewujudkan harapan dan memberikan sebab untuk terus hidup dan kekal.
Sedikit demi sedikit, mula memberanikan diri mengangkat muka. Sukar sebenarnya. Sukar untuk hidup semula selepas berbulan-bulan mati, hilang harapan dan asa. Sekarang, menjadi sebahagian penontonnya pun sudah cukup baik.
Izinkan aku, untuk tidak bergentayangan lagi tetapi terus hidup dengan mimpi dalam kesedaran.
siapakah yang kau cari
kalau bukan dirimu sendiri
setiap malam?
–Latiff Mohidin
Aku akan jumpa diri sendiri. Sikit masa lagi. Izinkan.