Saya cuba imbas kembali bagaimana puisi terpelanting dalam hidup saya. Maksud saya puisi yang benar-benar puisi. Sebelum ini, saya memang jenis yang suka pada madah-madah. Madah indah dalam lagu mahupun dalam mana-mana petikan. Puisi Muhammad Iqbal dalam buku al-Muntalaq barangkali yang terawal benar-benar memberi kesan kepada saya. Bahkan saya suka ulang baca al-Muntalaq kerana ingin menemukan puisi itu.
"...seni yang merampas kecantikan lenggok bunga sarwa
menukar helang menjadi rajawali menjadi burung denak
mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian merdu
lalu membenamkan bahtera ke dasar laut
mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu\dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya."
Dulu saya tertanya-tanya, siapakah gerangan Muhammad Iqbal ni? Saya cari juga maklumat sebab nak baca puisi penuh dan puisinya yang lain tapi tak jumpa. Sampai situ sajalah minat saya. Sehinggalah saya jadi pelajar di DBP.
Dipendekkan cerita, saya ternampak kawan di Instagram berkongsi buku Sains Menulis Puisi oleh Penerbitan Kata-Pilar. Semasa ke MPH, ringan je tangan ni pergi beli dan bila baca tu rasa seronok. Sekejap je habis baca. Saya ada baca beberapa buah buku kumpuisi yang dipinjam daripada rakan sekalas, sudara KM. Antara yang terawal, Sihir Hujan oleh Sapardi Djoko Damono, Opera oleh T. Alias Taib, Sungai Mekong oleh Latiff Mohidin dan buku KM sendiri iaitu Nokturna (yang ini beli).
Kemudian, saya menghadiri bengkel bimbingan Dr. Fahd Razy yang dianjurkan di Rumah PENA. Masa ni pergi seorang, main redah je. Dapat jumpa beberapa kawan baru. Menghadiri bengkel tidaklah terus menjadikan peserta terus mahir berkarya. Tetapi sekurang-kurangnya, saya sendiri dapat belajar bagaimana mahu mengenal puisi yang sedap, terdedah kepada penulis dan banyak puisi sedap. Kata Dr. Fahd, poeitic sense. Woah! Bagi orang noob seperti saya, tentulah ia mengujakan.
Kemudian, apa lagi?
Hadir Jambori Puisi, pergi ke Gadis Buku untuk tengok bicara mengenai T.Alias Taib, pergi ke acara Santai Puisi (jumpa Dato' Rahman Shaari dan SN Zurinah Hassan), kenal orang-orang baru lagi, cuba-cuba hantar puisi ke Tunas Cipta (kali pertama hantar terus keluar, siapa tak teruja kan?), beli buku puisi (lagi), hantar puisi (lagi), baca puisi, dan seterusnya sunting buku puisi.
Haa, macam tak percaya semua ini boleh berlaku dalam masa setahun.
Saya teringat sesuatu. Semasa Minggu Haluan Siswa di kampus dulu, semua pelajar freshie kena masuk satu acara. Sama ada sukan, seni atau apa lagi, saya pun tak ingat. Jadi, saya pun masuk pertandingan Apresiasi Puisi. Tapi saya bukan tukang baca, cuma jadi watak di belakang. Tapi, tak mampu nak ingat apa yang saya buat di atas pentas. Saya seperti ingat saya ada mengikat selendang di pinggang dan pertandingan tersebut dilaksanakan di KK6. Itu saja.
Ada satu lagi. Persembahan semasa program PEMBINA. HAHA. Program GOAL tahun 2014. Tak ingat sama ada saya yang tulis sendiri pusi ini, Aduh, semua benda tak ingat. Saya cuma ingat dengan jelas, saya yang susun lagu dan muzik latar.
Adalah jugak kan.
Begitulah bagaimana puisi terpelanting ke dalam hidupku.