26 November 2020

Kau yang Terpelanting ke dalam Hidupku

Saya cuba imbas kembali bagaimana puisi terpelanting dalam hidup saya. Maksud saya puisi yang benar-benar puisi. Sebelum ini, saya memang jenis yang suka pada madah-madah. Madah indah dalam lagu mahupun dalam mana-mana petikan. Puisi Muhammad Iqbal dalam buku al-Muntalaq barangkali yang terawal benar-benar memberi kesan kepada saya. Bahkan saya suka ulang baca al-Muntalaq kerana ingin menemukan puisi itu.

"...seni yang merampas kecantikan lenggok bunga sarwa

menukar helang menjadi rajawali menjadi burung denak

mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian merdu

lalu membenamkan bahtera ke dasar laut

mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu\dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya."

Dulu saya tertanya-tanya, siapakah gerangan Muhammad Iqbal ni? Saya cari juga maklumat sebab nak baca puisi penuh dan puisinya yang lain tapi tak jumpa. Sampai situ sajalah minat saya. Sehinggalah saya jadi pelajar di DBP.

Dipendekkan cerita, saya ternampak kawan di Instagram berkongsi buku Sains Menulis Puisi oleh Penerbitan Kata-Pilar. Semasa ke MPH, ringan je tangan ni pergi beli dan bila baca tu rasa seronok. Sekejap je habis baca. Saya ada baca beberapa buah buku kumpuisi yang dipinjam daripada rakan sekalas, sudara KM. Antara yang terawal, Sihir Hujan oleh Sapardi Djoko Damono, Opera oleh T. Alias Taib, Sungai Mekong oleh Latiff Mohidin dan buku KM sendiri iaitu Nokturna (yang ini beli). 

Kemudian, saya menghadiri bengkel bimbingan Dr. Fahd Razy yang dianjurkan di Rumah PENA. Masa ni pergi seorang, main redah je. Dapat jumpa beberapa kawan baru. Menghadiri bengkel tidaklah terus menjadikan peserta terus mahir berkarya. Tetapi sekurang-kurangnya, saya sendiri dapat belajar bagaimana mahu mengenal puisi yang sedap, terdedah kepada penulis dan banyak puisi sedap. Kata Dr. Fahd, poeitic sense. Woah! Bagi orang noob seperti saya, tentulah ia mengujakan. 

Kemudian, apa lagi? 

Hadir Jambori Puisi, pergi ke Gadis Buku untuk tengok bicara mengenai T.Alias Taib, pergi ke acara Santai Puisi (jumpa Dato' Rahman Shaari dan SN Zurinah Hassan), kenal orang-orang baru lagi, cuba-cuba hantar puisi ke Tunas Cipta (kali pertama hantar terus keluar, siapa tak teruja kan?), beli buku puisi (lagi), hantar puisi (lagi), baca puisi, dan seterusnya sunting buku puisi.

Haa, macam tak percaya semua ini boleh berlaku dalam masa setahun.

Saya teringat sesuatu. Semasa Minggu Haluan Siswa di kampus dulu, semua pelajar freshie kena masuk satu acara. Sama ada sukan, seni atau apa lagi, saya pun tak ingat. Jadi, saya pun masuk pertandingan Apresiasi Puisi. Tapi saya bukan tukang baca, cuma jadi watak di belakang. Tapi, tak mampu nak ingat apa yang saya buat di atas pentas. Saya seperti ingat saya ada mengikat selendang di pinggang dan pertandingan tersebut dilaksanakan di KK6. Itu saja.

Ada satu lagi. Persembahan semasa program PEMBINA. HAHA. Program GOAL tahun 2014. Tak ingat sama ada saya yang tulis sendiri pusi ini, Aduh, semua benda tak ingat. Saya cuma ingat dengan jelas, saya yang susun lagu dan muzik latar. 

Adalah jugak kan. 

Begitulah bagaimana puisi terpelanting ke dalam hidupku.












20 November 2020

Membahagi Rindu

Jika ditanyakan, apakah perkataan yang mengandungi makna yang paling berat? Aku jawab, rindu. Ya, rindu itu berat. Sehingga aku tak bisa mencari kata lain untuk membahagikan rasa. Cuma lima abjad yang terpaksa bertahan entah sampai bila. 

Kalau cinta, ya kita boleh bahagikan rasa kepada perkataan sayang, suka, kasih.

Tapi aku belum jumpa kata untuk membahagi rindu. Jadi, rindu ini harus selamanya menanggung rasa sendiri.

Bongkah Rindu

hari ini aku menewaskan 

dan berdiri di atas bongkah rindu


aku: diam jangan bangun atau bergerak

aku ingin membenammu ke tanah selamanya


rindu: aku harus bangun

kau membajaiku setiap hari

aku membesar dan awas

kamu akan jatuh lagi


5 November 2020

19 November 2020

Mati di Sini

Entah apalah jenis ketakutan ini. Ingin menulis, tetapi berharap agar tulisan ini tidak ditemui sesiapa. Saya ingin bersembunyi di sini. Berbeza dengan penulisan di Facebook, Instagram dan Twitter. Setiap satu laman mempunyai hadaf berbeza. Semuanya bergantung kepada siapa khalayak di sekitarnya.

Di Facebook, kebanyakannya kenalan dan pengikut (adalah sikit!). Penulisannya lebih kepada perkongsian, pemikiran dan persoalan. Atau sekadar suka-suka untuk menghidupkan suasana terutamanya dengan teman seisma. Laman dakwah milinea. Ruang paling mudah untuk berkongsi dan memberi inspirasi. 

Di Instagram, lingkungannya lebih kecil daripada Facebook. Cuma kenalan sesama jantina sahaja. Sejak kebelakangan ini sudah jadi seperti jurnal catatan. Saya catat apa saja perkara yang saya fikir penting, dan mungkin akan digunakan suatu hari nanti. Kadang-kadang, gambar yang dikongsi tiada kaitan pun dengan kapsyen panjang yang ditulis. Mungkin saya boleh gelar ia sebagai blog mini. Ada kod-kod bahasa tertentu. Ada cerita, perkara atau seseorang yang saya ingin rakamkan cerita dan fotonya. Maka, untuk meningkatkan keselamatan dan rasa bebas untuk menulis, saya sudah membuat tapisan pengikut. 

Twitter? Buat masa ini saya nyahaktif akaun Twitter. Tak perlu penjelsan. Ini akaun kedua selepas akaun pertama saya dinyahaktif dan terus tak boleh log masuk semasa zaman belajar dahulu. Akaun kedua ini sepatutnya dan kononnya dibuat khas untuk berjuang menentang rejim liberal. Merasalah beberapa siri kecaman dan hentaman seperti mana yang biasa diterima oleh perajurit yang lain. Ahh, sudahkah cukup untuk benar-benar mengatakan saya sudah berjuang? 

Blog. Blog ini ialah blog lama. Saya pernah cuba menghasilkan blog baru menggunakan wordpress. Tapi nampaknya lebih selesa menggunakan blog lama, ubah URL, ubah sedikit reka letaknya. Saya memilih untuk tidak memadam hantaran-hantaran lama. Sengaja. Tiada sebab tertentu. 

Blog ini mungkin suatu tempat persembunyian. Biar tulisan-tulisan saya mendiami perumahan di setiap entri dan mereput di sini. Tulisannya juga biar mati di sini. Nisannya sudah saya pacakkan siap-siap (URL blog ini ada diletak di FB). Tidak ditemui pun tidak mengapa. Saya cuma ingin rasa bebas menulis tanpa menerima apa-apa reaksi, tanda suka atau meletakkan harapan supaya ia dibaca oleh orang yang saya mahu mereka membacanya atau takut ia akan dibaca oleh orang yang saya tidak mahu mereka membacanya.

*dan kerana hal itu, sekarang saya sudah membuang nisan yang telah saya pacakkan supaya saya sendiri tidak tahu di mana saya dikebumikan


15 November 2020

Bergentayangan Antara Mimpi

: Guna judul yang sama untuk penulisan Kuras (buletin untuk projek pelajar SKM 3).

siapakah yang kau cari
kalau bukan dirimu sendiri
setiap malam?

Latiff Mohidin

Seharian terbaring, berselimut dan tidak berbuat apa-apa. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan. Setiap pagi, memerhatikan teman-teman serumah bersiap untuk ke tempat kerja. Perhati kak Faizah yang bersiap-siap untuk ke lab. Semua orang ada urusan. Sementara aku, masih menghadap siling dan kipas. 

Seluruh tubuh terasa kaku. Seram sejuk walaupun di waktu tengah hari. Siang dan malam pun tiada beza. Lesu kerana berhari-hari tidak terdedah langsung kepada cahaya matahari melainkan bilah-bilah cahaya matari yang curi masuk melalui jendela.

Tiap kali jaga, meronta rasa ingin mati. Lebih baik tidur (mati kecil) untuk terus hidup. Kekal hidup. Maka, begitulah siang ke malam. Cuma tidur. Sesekali bangun mengheret kaki untuk solat dan makan.

Dalam ketidaktentuan, aku masuk belajar semula. Ambil sijil, je. Ya, kalau itu je yang mampu. Yuran mahal, tapi malas nak fikir. Pergi saja dulu. Macam biasa, buat pemeriksaan kesihatan. Tapi kali ini mohon bantuan Dr. N. Jauh pergi ke HSB semata-mata nak buat pemeriksaan kesihatan kat sana. Bimbang ditanya soal kesihatan mental nanti.

Hari pendaftaran, berdebar. Betul ke aku ni?  Sampai pejabat pentadbiran aras empat, sunyi. Cuma ada aku seorang. Tapi sudah jam 9:00 pagi? Bukankah daftar jam 9:00 pagi? Pegawai suruh duduk di ruang menunggu. Disebabkan kelaparan, minta izin nak ke warung dulu beli makanan. Kemudian naik semula dan makan di pantri. Sedang makan, nampak dari dalam pantri ada budak lelaki berbaju kotak-kotak (dengan rambut ikal, melekat, mungkin kerana minyak?) datang. Baru dua orang. Haih. Dah masuk Bilik Mesyuarat untuk sesi taaruf (malas sebut orientasi) barulah budak ketiga dan keempat datang. Semuanya lelaki. 
 
Ok. Nama pun belajar kat DiBiPi kan. Di sinilah pengembaraan dunia baharu bermula. 

Rasa macam dapat nyawa baru. Mungkin sebab dah lama sangat terperap, akhirnya dapat keluar dan berinteraksi dengan manusia lain secara normal semula. Selain belajar hal-hal dalam kelas, aku mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan sastera. Puisi, cerpen dan novel. Meladeni puisi dan buku-buku yang sumpah tak pernah jumpa dan kenapa ya tak pernah nak baca sebelum ni? Duh! Ada la, tapi masa sekolah dulu. 

Masa baca puisi kan, rasa macam ada sesuatu. Aneh. Rasanya halus dan tak mampu nak terangkan sebab aku belum cukup banyak kosa kata nak terangkan rasa itu apa namanya. Mungkin, baca benda sastera ni akan keluarkan hormon endorfin. Hormon yang sama dirembeskan selepas kita bersenam. Rasanyalah. Teori sendiri. 

Aku akhirnya terus membenarkan diri untuk teroka dunia dan mencipta mimpi baru. Sesetengah orang mungkin memanggilnya sebagai harapan. Aku pula memanggilnya mimpi. Mungkin sama, mimpi ialah harapan dan harapan ialah mimpi.

Memilih untuk berhenti terus daripada kerjaya profesional yang boleh dikatakan masyuk, tidak lagi membuatkan aku kesal. Hal itu telah tinggal, bukan lagi sebagai mimpi; tetapi sebagai kenangan. Apabila dikatakan kenangan, lumrah apabila sesekali kita membukanya kembali sambil menangis; kadang kala sambil tersenyum.

Aku beredar ke mimpi yang seterusnya secara tak sengaja. Semasa sedang berjalan ke sana sini mengetuk pintu-pintu yang tertutup, seperti orang sesat dalam satu ruang tertutup tanpa sekilas pun cahaya. Tiba-tiba terjumpa satu jendela, Apabila dijenguk, di dalamnya adalah kawasan baru yang penghuninya menggunakan bahasa-bahasa indah. Begitu dekat dan mempesona. Dunia yang serba baharu tetapi mengghairahkan untuk diteroka. Sebagai peneroka dalam dunia yang sudah ada penghuninya, banyak perkara yang perlu aku ambil tahu. Perlahan-lahan aku mengangkat kaki untuk memanjat dan memasuki jendela itu.

Dunia baharu: sastera? Layakkah?

Sukar sebenarnya untuk seorang yang intovert untuk ke mana-mana tempat yang sudah dipenuhi orang ramai, sendiri. Sukar. Dia akan berasa janggal, kekok. Akhirnya, cuma duduk di tepi menjadi penonton sahaja. Ya, begitu perasannya. Mungkin kedudukanku cuma layak sebagai penonton dan pembaca, bukan sebagai sebahagian daripadanya? Tapi mengapa perlu atau mahu menjadi sebahagian darinya? 

Aku masih mengitari bahagian luar lingkungan baharu ini. Bermula dengan mengembangkan bahan-bahan bacaan, mengenal orang dan ahlinya, menghadiri bengkel dan acara, mendengar dan mengambil tahu berita sekitarnya. 

Kekok kerana pada usia begini tapi cetek pengetahuannya. Tadi, sebenarnya belum terlambat pun untuk bermula. Dan penerokaan ini sentiasa mengujakan. Mimpi-mimpi yang mewujudkan harapan dan memberikan sebab untuk terus hidup dan kekal.

Sedikit demi sedikit, mula memberanikan diri mengangkat muka. Sukar sebenarnya. Sukar untuk hidup semula selepas berbulan-bulan mati, hilang harapan dan asa. Sekarang, menjadi sebahagian penontonnya pun sudah cukup baik. 

Izinkan aku, untuk tidak bergentayangan lagi tetapi terus hidup dengan mimpi dalam kesedaran.

siapakah yang kau cari
kalau bukan dirimu sendiri
setiap malam?

Latiff Mohidin

Aku akan jumpa diri sendiri. Sikit masa lagi. Izinkan.










LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...